Jumaat, Disember 25, 2009

Doktor Berjiwa Keusahawanan

Dr Helmee, Doktor Berjiwa Keusahawanan

Dr Helmee Effendee Norsham ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Noraini.
MINAT mendalam berniaga biskut mendorong seorang doktor meninggalkan profesion perubatan pada awal 2007 lantas menceburi dunia keusahawanan.
Dr Helmee Effendee Norsham yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Noraini berkata, pada peringkat awal, dia sedikit menyesal meninggalkan profesion yang telah diceburinya selama empat tahun.
"Oleh kerana amat menyukai pekerjaan saya (usahawan), perasaan sesal itu beransur-ansur hilang.
"Saya berasa puas apabila melihat perniagaan saya berkembang dari hari ke hari," kata doktor bedah berusia 32 tahun ini yang telah berkhidmat selama dua tahun di Hospital Besar Kuala Lumpur dan dua tahun di Hospital Klang.
Matlamat penubuhan TEKUN Nasional adalah untuk menyediakan kemudahan pembiayaan secara mudah dan cepat kepada bumiputera untuk memula dan memajukan lagi perniagaan mereka.
Ketika mendengar beliau berforum pada majlis pelancaran Program Usahawan Tani Muda Jaya di Tapak Ekspo Pameran Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), baru-baru ini, para peserta program dapat merasai semangat keusahawanannya yang berkobar-kobar.
Akui Dr Helmee, beliau masih tidak dapat menjelaskan kenapa beliau melompat ke satu profesion yang cukup asing baginya melainkan atas faktor minat mendalamnya.
Beliau secara berseloroh berkata: "Di dewan pembedahan, jururawat datang memberitahu terdapat individu yang ingin memesan biskut.
"Kerana itulah, saya tidak dapat memfokus kepada pembedahan yang dilakukan," katanya sekali gus mengundang hilai ketawa sesetengah peserta program tersebut.
Hari ini, kumpulan syarikat Noraini menawarkan beraneka produk biskut, perasa makanan, ketupat dan makanan dalam tin.
Pemilik Zinon Food Industry Sdn Bhd ini adalah usahawan bimbingan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Semua produk syarikat tersebut membawakan logo Halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim).
Dr Helme ketika ditemuramah mStar Online memberitahu, dia mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk syarikat yang diasaskan oleh kedua-dua ibu bapanya.
Peribahasa Melayu, "Bapa borek, anak rintik" jelas menggambarkan sifat-sifat keusahawanan yang diwarisi beliau daripada orang-orang tuanya.
Beliau ingin melihat syarikat itu menjadi syarikat senaraian awam suatu hari nanti.
Tiada apa yang mustahil untuknya. Lebih-lebih lagi, Dr Helme memegang cogan kata, "Jangan berputus asa dan terus mencuba."
Beliau turut menerapkan Sifat-sifat positif itu serta keusahawanan kepada para graduan yang menjalani latihan praktikum dengan syarikatnya.
Melihat keazaman tinggi yang dipamerkan olehnya, Dr Helme pastinya berjaya merealisasikan impiannya itu.
Ini kerana beliau ialah seorang doktor berjiwa keusahawanan.

Komen 2bz4money:
Saya pernah membeli biskut jenama Noraini dan tak menyangka pula ianya diterajui oleh CEO muda, bekas pegawai perubatan. Kekadang kita ralat/keliru tentang kebolehan/keupayaan diri sendiri. Minat dan kesungguhan Dr Helme dalam keusahawan adalah sangat terpuji kerana meninggalkan jawatan makan gaji dan profesion doktor yang disanjung tinggi. 90% rezeki datangnya dari bisnes. Bagi penjawat awam yang menggunakan masa opis untuk membuat kerja part time, pastikan hala tuju dan kehendak sebenar diri kerana rezeki anda akan diperhitungkan nanti!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan