Rabu, Januari 20, 2010

Rakyat Perlu Sedia Bayar Lebih


UtusanOnline, KUALA LUMPUR 19 Jan. – Model ekonomi baru yang bakal diperkenalkan kerajaan perlu mengambil kira kos buruh negara yang masih murah. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, bagaimanapun kos itu masih belum boleh dibandingkan dengan Thailand, Indonesia, China dan Vietnam.

‘‘Tetapi pada masa sama kita tidak lagi boleh berterusan menjadi negara menerima gaji kecil,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Petronas Lubricants International Sdn. Bhd. dengan Proton Holdings Bhd.
Menurut Mahathir, kerajaan perlu mengkaji pelaburan asing yang boleh membantu menjana pendapatan tinggi melalui industri yang memiliki nilai tambah.

‘‘Inilah yang dilakukan oleh negara-negara maju di dunia yang kekal kompetitif meskipun buruhnya mahal,’’ tambahnya. Beliau berkata, rakyat Malaysia juga perlu bersedia membayar lebih untuk menghadapi kenaikan harga barang dalam usaha Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi. Ini kerana, sebagai negara berpendapatan tinggi, kos hidup turut meningkat kerana tanpa kos hidup yang tinggi, rakyat tidak boleh menikmati pendapatan tinggi, jelas beliau.



Beliau memberi contoh, dalam proses menjadi negara berpendapatan tinggi, pekerja kilang harus diberi gaji yang tinggi dan untuk membayar gaji tinggi, kilang perlu membuat keuntungan lebih.
‘‘Bagi mendapat untung tinggi, pekilang kenalah menaikkan harga produk, jadi rakyat kena bersedia berbelanja lebih. ‘‘Berbeza (sekarang), rakyat Malaysia suka merungut walaupun (barangan) kenaikan sekecil satu sen pun, ia masih dianggap mahal.‘‘Sedangkan harga barangan di negara kita masih murah jika dibandingkan dengan negara-negara jiran,’’ katanya.

Mahathir berkata, untuk memastikan pekerja kilang mendapat gaji yang tinggi, kerajaan perlu mendapatkan industri yang memiliki nilai tambah daripada pelaburan asing. Menurut beliau, kerajaan perlu kekal kompetitif meskipun pada masa yang sama mengurangkan subsidi dan meningkatkan cukai bagi membolehkan lebihan tunai untuk meningkatkan pendapatan kakitangan kerajaan.

2bz4money:
Pabila pengilang/penjual memulakan rentak dengan menaikkan harga barang/servis, Cuepacs/MTUC pula perjuangkan kenaikan elaun/pendapatan. Kerajaan perlu pastikan strategi  model ekonomi baru kearah berpendapatan tinggi dilaksanakan secara adil, teratur dan pada masa yang sesuai supaya tiada mana-mana pihak berasa tertindas!


2 ulasan: