Isnin, Januari 04, 2010

Waspada Skim Dagangan Mata Wang Asing Haram

BERNAMA, Isnin Januari 4, 2010
Waspada Skim Dagangan Mata Wang Asing Haram: BNM


KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menasihati orang ramai supaya tidak menyertai mana-mana pelaburan haram atau program latihan dagangan mata wang asing yang ditawarkan oleh individu atau syarikat.

Di dalam satu kenyataan di sini hari ini, BNM berkata, orang ramai biasanya tertarik untuk menghadiri program pelaburan atau latihan yang menjanjikan pulangan yang segera dan besar.

Katanya, modus operandi program sedemikian telah menawarkan latihan, seminar, bengkel percuma untuk menarik para pelabur, sebelum menjemput mereka mewujudkan satu akaun dagangan mata wang asing dengan sebuah syarikat utama.

Syarikat itu dikatakan mempunyai lesen sah untuk berdagang mata wang asing di seberang laut.

Ia juga termasuk menyediakan akses mudah ke laman web syarikat utama dan memudahkan dagangan mata wang asing secara online oleh para pelabur serta bagi mengambil siswazah baharu sebagai eksekutif pamasaran.

Para siswazah juga digalakkan untuk menarik ahli keluarga dan rakan-rakan untuk berdagang mata wang asing.

Program sedemikian turut menghendaki para pelabur mendeposit sejumlah wang ke dalam akaun bank untuk memulakan dagangan mata wang asing dan seterusnya meminta ditambah bagi mencukupkan jumlah yang berkurangan berikutan pelaburan awal masing-masing (penggilan margin) bagi mengelakkan kehilangan modal.

Di bawah Akta Kawalan Pertukaran Asing 1953 (ECA), adalah menjadi satu kesalahan bagi seseorang untuk membeli atau menjual mata wang asing atau terlibat di dalam sebarang perbuatan atau mempunyai kaitan atau membuatpersediaan di dalam membeli atau menjual mata wang asing dengan sebarang orang atau selain daripada peniaga yang dibenarkan.

Adalah juga menjadi kesalahan bagi seseorang untuk membantu atau bersubahat dengan seseorang yang lain untuk membeli atau menjual mata wang asing dengan seseorang, kecuali individu itu adalah seorang peniaga yang dibenarkan.

Senarai peniaga dan institusi kewangan yang dibenarkan oleh Pengawal Pertukaran Asing untuk membeli atau menjual mata wang asing boleh diperolehi dari laman web BNM (http://www.bnm.gov.my/fxadmin).

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi BNM di talian 1-300-88-5465 atau e-mel (bnmtelelink@bnm.gov.my). - BERNAMA


2bz4money:
Saya kerap juga menerima jemputan seminar percuma pelaburan matawang asing melalui e-mel dan mesej kenalan bloggers tetapi tak pernah melayan ajakan ini. Yang pastinya sekarang urusniaga sebegini adalah salah (HARAM) di sisi undang-undang. Jauhilah ia..Rebutlah peluang melabur di bawah unit amanah PNB yang lebih selamat dan terjamin dari segi pulangannya..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan