Khamis, Februari 04, 2010

Jujur & Amanah

Petikan 2 kisah daripada MyMetro ..

Pengawal curi peti keselamatan

2010/02/04
KUANTAN: Seorang pengawal keselamatan di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di sini ditahan polis semalam selepas dipercayai terbabit mencuri wang milik klinik mata di institusi tersebut tahun lalu.Namun wang terbabit dikatakan sudah habis dibelanjakan oleh suspek.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supt Haris Daud berkata lelaki berusia 25 tahun itu ditahan di rumahnya di Kampung Bukit Setongkol kira-kira 9.30 pagi. "Suspek dipercayai mencuri RM15,000 iaitu hasil kutipan dua minggu di dalam peti keselamatan yang berada dalam klinik itu pada 21 Disember tahun lalu.

"Kecurian itu disedari oleh kakitangan klinik tersebut apabila laci peti keselamatan itu terbuka dan mendapati wang di dalamnya lesap," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Haris berkata kakitangan wanita tersebut kemudiannya membuat laporan polis dan hasil maklumat orang awam, polis berjaya menahan suspek. - Bernama

Petugas majlis perbandaran kembalikan wang berjuta silap dibayar

2010/02/04
DUBAI: Dia boleh memilih untuk mengeluarkan kesemua wang berjumlah 5.19 juta dirham (kira-kira US$1.4 juta) yang silap dimasukkan ke dalam akaunnya, dan menghilangkan diri. Namun warga Sudan ini, Hashim Mohammed, 55, tidak mudah tunduk pada nafsu, sebaliknya melaporkan kesilapan itu kepada pihak berkuasa.

"Saya takutkan Tuhan. Saya mahu kekal jujur dan memastikan keluarga saya
mendapat manfaat dari pendapatan yang halal," kata petugas Majlis Perbandaran
Ajman kepada harian The National.

Hashim menuju ke bank pada Isnin lalu untuk memeriksa sama ada gaji sebanyak 5,000 dirham sudah masuk ke dalam akaun. "Mula-mula, saya ketawa kerana saya tidak mempercayainya. Saya masukkan kad ATM sekali lagi dan menanyakan baki. Jumlahnya 5,196,000 dirham," kata Hashim.

Harian itu melaporkan dua anak lelaki Hashim tercicir dari universiti kerana bapa mereka tidak mampu membayar yuran, menjadikan kejujurannya lebih luar biasa.

Kerana kejujurannya, inspektor di Jabatan Kesihatan Awam ini diberikan
tambahan sebulan gaji dan sijil penghargaan oleh majikannya. -Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan