Jumaat, Februari 05, 2010

Mahu Cepat Kaya..

Petikan BHarian 4/2/10..
Mahu cepat kaya, suri rumah ditipu RM80,000

KUALA LUMPUR: Hanya kerana ingin menukar nasibnya menjadi lebih kaya, seorang suri rumah kerugian RM80,000 apabila ditipu seorang bomoh palsu yang menjanjikannya peluang menjadi kaya melalui nombor ekor. Pengerusi Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong, berkata mangsa yang dikenali sebagai Miss Low, 50, dari Sungei Way dekat sini menerima satu risalah di pagar rumahnya pada Mac tahun lalu dengan iklan tertera peluang untuk mengubah nasib.

Katanya, mangsa yang terpikat iklan itu memberanikan diri menghubungi nombor telefon di risalah itu dan berhubungan dengan bomoh yang dikenali sebagai Master Yang."Mangsa mahukan bomoh itu supaya mengubah nasibnya dan lelaki itu berjanji akan memberikannnya satu nombor 4-D supaya mangsa akan mendapat keuntungan."Lelaki itu mahukan mangsa bertaruh sebanyak RM3,000 pada nombor yang diberikan dan memberitahu, kelak mangsa akan memenangi wang sebanyak RM600,000," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Chong berkata, dari Mac hingga Ogos tahun lalu, mangsa mendakwa telah memasukkan wang sebanyak RM80,000 ke dalam akaun lelaki itu di mana wang itu didakwa untuk kegunaan upacara sembahyang.
Beliau berkata, mangsa yang sabar menunggu untuk mendapatkan apa yang dijanjikan itu mula mengesyaki sesuatu apabila nasibnya masih lagi tidak berubah."Mangsa kemudian cuba menghubungi lelaki itu untuk mendapatkan semula wangnya namun panggilannya tidak dijawab," katanya.

Katanya, lelaki itu menghubungi mangsa selang beberapa hari kemudian dan mahukan mangsa memasukkan wang sebanyak RM3,000 lagi jika inginkan kembali wangnya itu (RM80,000).Chong berkata mangsa yang sedar dirinya telah ditipu kemudian membuat laporan polis pada 4 November lalu dan datang ke pejabatnya untuk mendapatkan bantuan dan nasihat. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan