Isnin, Februari 08, 2010

Penyewa Dajal

Penyewa dajal

Oleh Muhammad Apendy Issahak
am@hmetro.com.my
2010/02/05
AMPANG: “Disebabkan penyewa saya yang terpaksa menanggung bebannya,” kata Jaafar Abdul Aziz, 69, pemilik rumah teres setingkat di Ampang Jaya, dekat sini, yang menanggung akibat apabila diminta membayar bil elektrik rumah sewa miliknya berjumlah hampir RM10,000.
TERTUNGGAK
...Jaafar menunjukkan bil elektrik hampir RM10,000 lebih yang tidak mampu dilangsaikan.
TERTUNGGAK ...Jaafar menunjukkan bil elektrik hampir RM10,000 lebih yang tidak mampu dilangsaikan. 

Menurut Jaafar, bil elektrik terakhir pada November lalu RM9,650.05 dan sekarang dijangka semakin bertambah.

Katanya, rumah yang disewakan sejak lebih 10 tahun lalu kini dipotong bekalan elektrik sejak Ogos tahun lalu selepas penyewa berpindah empat bulan sebelum itu.

“Penyewa sekarang menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi.

“Saya tidak sangka akan jadi begini kerana penyewa bayar sewa tiap-tiap bulan tanpa tertunggak dan saya yakin dia membayar bil lain tanpa masalah,” katanya.

Jaafar berkata, dia bertanggungjawab untuk melangsaikan tunggakan bil berkenaan, tetapi ia membebankan kerana pendapatan yang tidak seberapa sebagai pesara kakitangan awam.

“Pencen kerani RM800 sebulan tidak cukup untuk menampung kehidupan harian saya sekeluarga apatah lagi untuk membayar jumlah sebanyak itu,” katanya.

Jafaar mempersoalkan tindakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan elektrik rumah terbabit hanya selepas lebih 10 tahun ia tertunggak dan tidak memotongnya sebelum tunggakan mencecah ribuan ringgit. “Kalau TNB ambil tindakan dari awal keadaan ini tidak akan berlaku dan setahu saya paling lama pun bil tertunggak tiga bulan sebelum bekalan dipotong,” katanya.

Menurutnya, bagi menyelesaikan masalah terbabit dan bekalan elektrik disambung semula untuk penyewa baru dia ke TNB Kuala Lumpur di Menara THSelborn.

Dalam perbincangannya dengan TNB, dia membuat perjanjian untuk membayar secara ansuran 10 bulan bagi menyelesaikan segala tunggakan, namun tidak berkemampuan untuk membayar bil berkenaan.

Katanya, selepas membuat perjanjian terbabit, bekalan elektrik disambung semula pada September lalu dan penyewa baru hanya membayar bil semasa.

“Walaupun berjanji nak bayar ansuran, saya masih tidak mampu melaksanakannya dan saya khuatir bekalan akan dipotong semula serta jumlah tertunggak semakin bertambah.

“Saya minta TNB untuk selesaikan masalah ini secara baik dan mempertimbangkan untuk beri sedikit kelonggaran atau diskaun,” katanya.

Sementara itu, jurucakap TNB, berkata pihak ibu pejabat maklum mengenai perkara terbabit dan menjalankan siasatan.

“Mengikut siasatan awal dan rekod kami, bekalan ke rumah pengguna itu pernah dipotong pada 2007, namun pengguna membuat penyambungan semula secara haram. “Pengguna juga membuat pertukaran nama bagi akaun yang dimaksudkan dan tunggakan bagi akaun lama dipindahkan ke akaun baru terbabit,” katanya.

Katanya, pihak TNB akan melakukan siasatan mengenai masalah terbabit.

Menurutnya, terbaru pengguna ada datang berjumpa pegawai Kawalan Kredit TNB KL Pusat bagi tujuan pembayaran secara ansuran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan