Jumaat, Februari 19, 2010

Tertinggi: Bank Rakyat catat untung pracukai RM1.55b

UtusanOnline 19/02/2010 3:10pm

KUALA LUMPUR 19 Feb. – Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.55 bilion bagi tahun yang berakhir pada 31 Disember 2009, peningkatan sebanyak 25.6 peratus berbanding RM1.234 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya. Jumlah ini dicapai dengan kenaikan 18.3 peratus dalam pendapatan kasar kepada RM3.783 bilion daripada RM3.197 bilion pada 2008.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pencapaian keputusan berkenaan terutama disebabkan keseluruhan pendapatan yang lebih tinggi daripada semua segmen perniagaan dan kos dana yang baik."Jumlah ini merupakan keuntungan tertinggi yang dicatatkan dalam masa 55 tahun operasinya,” kata beliau pada majlis pengumuman prestasi kewangan dan dividen Bank Rakyat di sini hari ini.

Susulan prestasi cemerlang berkenaan, bank mengumumkan dividen tunai sebanyak 15 peratus berjumlah RM299 juta yang akan dibayar kepada anggota mulai 22 Februari, kata Ismail Sabri. Pendapatan bersih Bank Rakyat selepas pengagihan untung kepada pendeposit berkembang sebanyak 28.4 peratus kepada RM2.61 bilion, dirangsang oleh pertumbuhan kukuh berterusan dalam pembiayaan berkualiti, deposit dan peningkatan berterusan dalam kualiti aset.

Pendapatan daripada pembiayaan berjumlah RM3.396 bilion berbanding dengan RM2.804 bilion pada 2008, di mana 93.4 peratus adalah daripada perbankan pengguna, manakala perbankan komersial menguasai 6.6 peratus jumlah pendapatan pembiayaan. Ia juga mencatatkan asas fi sebanyak RM81.7 juta, peningkatan 41.6 peratus, berbanding dengan RM57.7 juta pada tahun sebelumnya, di mana 65.6 peratus datang dari fi khidmat wasiat, komisyen bagi Takaful dan Mesin Teler Automasi (ATM).
Jumlah aset Bank Rakyat berkembang sebanyak 21.3 peratus atau RM8.9 bilion kepada RM50.6 bilion sehingga akhir tahun lepas, dipacu kebanyakannya oleh pertumbuhan dalam pembiayaan. – Bernama

Komen 2bz4money : Good Debts via Pinjaman Peribadi yg digunakan untuk pembelian saham ketika waktu dahulu terus memberi pulangan hasil yg cukup lumayan.. Dividen tunai yg boleh dikeluarkan terus via Kad ATM wajar dipindahkan pula ke akaun Tabung Haji untuk meraih lebih dividen. Ianya praktikal..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan