Ahad, Mac 28, 2010

50,000 Kena Tipu

Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my
2010/03/28

pix_gal0
Pelabur rugi lebih RM100 juta sertai pelaburan sejak dua tahun lalu

KUALA LUMPUR: Kira-kira 50,000 pelabur kerugian lebih RM100 juta kerana menyertai pelaburan penternakan cacing, lintah, sarang burung layang-layang, lembu dan kafe ala kopitiam di seluruh negara sejak dua tahun lalu.

Menggunakan status syarikat skim berkepentingan, lima syarikat terbabit dipercayai menyalahgunakan lesen perniagaan masing-masing, walaupun berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Pengarah Kanan Penguatkuasaan SSM, Mohammad Redzuan Abdullah, berkata dua daripada syarikat itu sudah didakwa dan beberapa lagi akan dihadapkan ke mahkamah tidak lama lagi.

Katanya, satu daripada lima syarikat berkenaan, Island Red Cafe Franchise Sdn Bhd sudah didakwa di Mahkamah Majistret Ampang atas tiga pertuduhan menipu dan memperdayakan pelabur membabitkan pelaburan RM16 juta.

Baru-baru ini, SSM menyerbu Hadhari Cattle Industry Sdn Bhd dan Hadhari Agro Holding Sdn Bhd kerana dipercayai mempengaruhi orang awam untuk melabur dalam skim ‘Projek Pembangunan Usahawan’. Difahamkan, pelabur skim itu tidak menerima pulangan seperti dijanjikan pengurusan syarikat berkenaan.

Mohammad Redzuan berkata, modus operandi lima syarikat berkenaan ialah menawarkan saham serendah RM1,000 seunit dan menjanjikan pulangan sehingga 10 kali ganda daripada nilai pelaburan, selain insentif lain seperti kupon makanan, pakej pelancongan dan kad diskaun.
Ada syarikat menawarkan pakej pembayaran pelaburan secara ansuran bulanan untuk menarik lebih ramai menyertai skim mereka, malah sesetengah syarikat menggunakan kaedah perniagaan pelbagai peringkat (MLM) dengan pelbagai strategi pemasaran, termasuk menggunakan selebriti dan VIP.

Serentak itu, SSM kini memburu syarikat yang menganjurkan skim pelaburan sedemikian atau menyalahgunakan skim berkepentingan, terutama dalam sektor pertanian dan inovasi baru.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, SSM menerima 90 aduan membabitkan skim pelaburan berkepentingan dan daripada jumlah itu, 60 adalah syarikat yang tidak tahu mereka melanggar peraturan skim berkepentingan serta diberi notis sebelum mematuhi mengikut peraturan ditetapkan SSM.

“Bagaimanapun, kebanyakan daripada 60 syarikat itu mengambil keputusan menutup operasi dan tidak meneruskan skim berkepentingan, sebaliknya meneruskan perniagaan seperti biasa mengikut Akta Syarikat 1965.

“Selain itu, 10 syarikat dikenal pasti degil dan meneruskan skim berkepentingan. Notis sudah dikeluarkan dan ada yang meminta diberi tempoh untuk mematuhi syarat ditetapkan.

“Bagi yang masih ingkar, kita sudah mengumpulkan bukti dan saksi untuk mendakwa mereka di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menerima aduan kes itu, tetapi sukar bertindak kerana kekurangan bukti sebelum menyalurkan maklumat kepada SSM bagi membolehkan tindakan diambil.

Selain polis, SSM bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Bank Negara jika kes membabitkan aktiviti pengambilan deposit haram atau melanggar peraturan Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 (Bafia), Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Beliau berkata, ramai pelabur tidak mengetahui skim berkepentingan hanya boleh dijalankan syarikat berstatus berhad (Bhd), bukannya syarikat sendirian berhad (Sdn) atau berstatus syarikat perniagaan tunggal.

Syarikat yang menganjurkan skim berkenaan perlu mempunyai prospektus, surat ikatan amanah antara pelabur dengan syarikat dan terma serta pemegang amanah syarikat. Jika ketiga-tiga syarat tidak dipenuhi, pelabur tidak wajar menyertai skim kepentingan ini,” katanya.

Beliau mendedahkan kebanyakan syarikat yang menganjurkan skim berkepentingan berdaftar dengan SSM, namun statusnya sebagai syarikat sendirian berhad tidak melayakkannya menganjurkan skim itu.

Justeru, katanya, pengguna perlu menyemak dengan SSM jika ditawarkan mana-mana pelaburan skim berkepentingan untuk mengetahui status syarikat yang menganjurkan skim pelaburan itu.

“SSM memandang berat kes ini kerana mahu melindungi kepentingan pelabur, terutama berpendapatan rendah atau mereka yang melabur menggunakan wang pencen, gratuiti, wang simpanan dan pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB),” katanya.

2 ulasan:

  1. Pada pengetahuan saya ramai daripada kita telah memikirkan masak-masak sebelum membuat sesuatu keputusan penting terutamanya yang melibatkan duit yang banyak dan masa depan.

    Seperti kes Hadhari Cattle Industries Sdn Bhd dan Hadhari Agrow Sdn Bhd agak berlainan dari segi pelaburannya. Apa yang dimaksudkan adalah kerana badan kerajaan terlibat secara tak langsung.

    Kerajaan mengalakkan orang melayu berniaga menjadi usahawan berjaya. Promosi bersama yang djalankan antara Hadhari Cattle dan Tekun Nasional dan MARA pada peringkat awal membuatkan ramai oang melayu percaya disebabkan suatu nama besar ada bersama dengan Hadhari.

    Pak Lah bekas Perdana Menteri juga ada membuat lawatan ke gerai Hadhari semasa peringkat pengenalan suatu masa dulu di PWTC menjadikan pandangan umum lebih kuat untuk melabur bersama.

    Lagi pun pada masa itu kerajaan sangat-sangat menggalakkan orang melayu menceburi bidang pertanian.

    Tapi bila projek tidak berjalan semua orang yang terlibat mencuci tangan degan mudah sekali. Pihak Tekun, MARA semuanya mengelak dan melepaskan diri dengan alasan mereka tiada kena mengena dengan Hadhari Cattle sedangkan pada peringkat awal nama mereka terpampang di setiap promosi roadshow yang di buat pihak Hadhari.

    Bila timbul masalah yang melibatkan wang, maka mereka tadi yang mendakwa hendak membangunkan orang-orang melayu supaya maju dan menjadi usahawan melayu berjaya terus hilang.

    Hingga sekarang ini tidak ada suatu pihak pun yang dapat membantu usahawan-usahawan ini untuk mendapatkan semula wang mereka. Pihak kerajaan BN pun langsung tidak dapat berbuat apa2.

    Pihak SSM pun telah membuat serbuan pada Hadhari Cattle ini tapi belum tentu lagi wang tersebut dapat dikembalikan semula.

    Bila keadaan ini timbul semua pihak termasuk pihak kerajaan akan menyalahkan orang melayu yang melabur ini dengn alasan tidak pandai fikir, nak kaya cepat, cara cepat untuk dapatkan duit, dan bermacam2 lagi alasan.

    Dalam kes pelaburan Hadhari ni sebenanya kita hendak menjadi peniaga, penternak lembu dan hendak menjadi usahawan berjaya. Ini lah yang sebenarnya. Disamping itukita dapat menyahut seruan kerajaan supaya lebih ramai orang melayu berniaga. Bukannya macam skim cepat kaya tu.

    Oleh itu harapan supaya pihak2 yang berkenaan mungkin juga pihak kerajaan atau pun Perdana Menteri kita sendiri Dato' Seri Najib dapat menyelesaikan masalah ini.

    Kita bukannya nak minta kerajaan bayar balik duit tersebut. Sebenarnya kita nak kerajaan tekankan pihak Hadhari supaya memulangkan balik duit tersebut dengan segera.

    Cubalah kita fikir-fikirkan masalah yang timbul ini. Dimana puncanya? Bagaimana hendak menyelesaikannya? Apa tindakan pihak2 berkenaan, pihak berwajib, pihak kerajaan untuk mengelakkan perkara ini berulang? Apakah balasan yang setimpal kepada syarikat yang melakukan perkara ini? Apakah hukuman yang sepatutnya dikenakan kepada mereka ini? Inilah cara kalau kita hendak membangunkan orang2 melayu kita. Disamping membangun kita kena fikirkan perlindungan yang sepatutnya ada.

    Daripada,
    USAHAWAN MALANG.

    BalasPadam
  2. Saya bersimpati dgn mangsa2 Kes Hadhari ni. Seperti kes SwissCash, diharapkan sedikit sebanyak refund dpt dikembalikan kpd mereka yg menjadi mangsa, agar dpt meneruskan kembali usaha berniaga secara lebih praktikal dan berhemat..

    BalasPadam