Rabu, Mac 03, 2010

Fikir Cara Kreatif


Oleh Hayati Ibrahim dan Syarifah Dayana Syed Bakri
am@hmetro.com.my
2010/03/02

PUTRAJAYA: “Jangan merungut bila bajet dipotong, tetapi ambil sikap
positif dan cari jalan bagaimana objektif (pelaksanaan sesuatu program)
boleh dicapai dengan perbelanjaan minimum,” kata Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak, semalam.

Najib berkata, setiap program yang dilaksanakan boleh mencapai matlamat
yang diingini walaupun dengan bajet rendah jika sesuatu jabatan kerajaan
bijak mengendali perbelanjaan dan berfikir secara kreatif bagi menjimatkan
penggunaan bajet yang diperuntukkan.

“Banyak jabatan, apabila kerajaan potong perbelanjaan, dia merungut...
membebel, tapi sebenarnya kalau ambil sikap positif, dia (jabatan
kerajaan) cari jalan macam mana objektif (pelaksanaan) program dapat
dicapai dengan perbelanjaan minimum.

“Ini dapat membantu proses pemulihan ekonomi negara. Apabila defisit
kerajaan dapat dikurangkan daripada 7.4 peratus atau tujuh peratus kepada
5.6 peratus dan sebagainya tahun ini, kita akan meletakkan asas lebih
mantap dan kukuh pada ekonomi negara dan dari situ kita boleh melonjak
(negara) pada tahap yang lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada
perhimpunan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib berkata, contoh terbaik projek atau program yang berjaya
dilaksanakan dengan menggunakan peruntukan terhad adalah penubuhan Klinik
1Malaysia apabila kerajaan hanya mengeluarkan perbelanjaan RM10 juta bagi
membuka 50 Klinik 1Malaysia di seluruh negara.

“Satu lagi contoh, sambutan Maulidur Rasul (peringkat kebangsaan) tahun
ini. Saya difahamkan menteri agama (Datuk Seri Jamil Khir Baharom) apabila
kerajaan mengurangkan bajet sambutan dari RM2.2 juta kepada RM500,000,
mereka tidak merungut sebaliknya mereka buat program di Masjid Putra (di
Putrajaya).

“Bila buat dalam masjid belanjanya hanya RM500,000, berkat pun lebih, bila
buat dalam masjid, belanja kurang dan saya rasa dari segi signifikan
majlis itu boleh dikatakan sama juga dengan perbelanjaan RM2.2 juta.
“Malah, lebih lagi sebab kita berada dalam masjid dan semua akan terasa
kesucian masjid itu. Walaupun kecil (peruntukan yang diberikan), tetapi
mereka tidak merungut,”katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata, jentera pentadbiran kerajaan perlu
menggandakan usaha bagi mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi negara
sebanyak enam peratus tahun ini.

“Saya tak fikir ini satu yang di luar kemampuan, saya yakin kalau kita
bekerja dengan bersungguh-sungguh, dari mula kita buat perancangan
strategik, melahirkan idea bernas, membuat perancangan teratur dan
pelaksanaan berkesan serta memantau kelemahan dan kekuatan kita, saya
percaya kita dapat melakukan sesuatu yang di luar jangkaan.

“Umpamanya dari segi usaha kita memulihkan ekonomi, kita sudah
memperkenalkan dua pakej rangsangan ekonomi dan di dalamnya ada 113,000
pelbagai projek, cuba bayangkan 113,000 projek dari yang besar hingga
kecil sudah dilancarkan kerajaan. Memang sebelum ini sukar bagi kita
gambarkan kemampuan, tetapi kita sudah buat,” katanya.

2bz4money: Banyak komitmen perbelanjaan terpaksa dikurangkan..walaupun perit dan merungut' tapi terpaksa..agar cukup bersedia menghadapi fenomena kenaikan harga nanti..

1 ulasan: