Ahad, Mac 28, 2010

Jins Shamsuddin Kini Bergelar Doktor

  
BANGGA... Walaupun usia telah mencecah lebih 70 tahun, ia tidak menjadi penghalang kepada penggiat seni Senator Tan Sri Dr Jins Shamsudin untuk terus menuntut ilmu sehingga ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD). - Foto BERNAMA
SINTOK: Pengorbanan dan kesungguhannya menuntut ilmu pada usia 75 tahun, akhirnya menghasilkan kejayaan apabila Tan Sri Jins Shamsuddin hari ini menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini.
Kejayaan manis itu datang setelah beliau bersusah payah melengkapkan kajian tesis selama dua tahun.
"Saya tidak pernah menganggap semua ini cabaran walaupun terpaksa sering berulang-alik dari Kuala Lumpur ke sini, kerana ia akan membuat kita mudah mengalah.
"Sebaliknya saya menganggap ia adalah satu tanggungjawab yang perlu diteruskan sehingga selesai," kata Jins atau nama sebenarnya Mohamed Zain Shamsuddin, anak kelahiran Taiping, Perak.
"Dengan kejayaan ini juga, saya harap ia dapat memberi galakan kepada semua karyawan seni terutama generasi muda untuk terus belajar sehingga ke akhir hayat," kata penggiat seni ini selepas menerima ijazahnya daripada Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang juga Canselor UUM.
Beliau berkata dengan memiliki ilmu serta pengetahuan yang tinggi, karyawan tempatan akan dapat menerbitkan karya seni yang lebih bermutu serta dapat menandingi filem-filem antarabangsa.
Sultan Kedah yang juga Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (dua, kiri) dan Sultanah Haminah Hamidun (kiri) berangkat hadir pada Majlis Konvokesyen ke-23 UUM di sini hari ini. Turut menyambut baginda berdua ialah Naib Canselor UUM Tan Sri Dr Nordin Kardi (tiga, kiri) dan Seniman terkenal Senator Tan Sri Dr Jins Shamsudin (kanan).
Beliau melengkapkan tesis bertajuk "Filem Melayu 1930-an hingga 1960-an Sebagai Citra Budaya dan Sejarah Negara" di mana beliau memilih 50 filem Melayu dari sepanjang tahun berkenaan untuk dijadikan sampel kajiannya.
Antara filem yang dijadikan kajiannya ialah karya-karya arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee seperti Antara Dua Darjat, Hang Tuah, Sejoli serta filem pertama lakonannya di bawah arahan P. Ramlee iaitu Panca Delima.
"Bagi membiayai pengajian saya, saya membelanjakan wang sendiri sebanyak lebih RM30,000. Ketika diiktiraf sebagai Seniman Negara, saya menerima wang sebanyak RM60,000, jadi saya gunakan sebahagian daripada wang hadiah itu untuk membiayai pengajian saya ini," katanya.
Mengenai perancangan masa depan, Jins berkata beliau berhasrat untuk memfilemkan kisah Pasir Salak dan riwayat hidup P.Ramlee untuk tatapan generasi muda, sekaligus berharap ia dapat ditayangkan di luar negara.
"Selaras dengan prinsip hidup saya iaitu 'Melakukan yang terbaik, Memberi sumbangan kepada bangsa dan negara', saya akan terus menghasilkan filem-filem yang dapat memberi impak berkesan kepada seluruh masyarakat," katanya yang kini bergelar Dr Jins. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan