Ahad, Ogos 08, 2010

Duit loteri habis, petani bakar diri

2010/08/08

KUCHING: Seorang petani warga tua yang pernah hidup mewah selepas memenangi wang loteri berjumlah hampir RM1 juta lima tahun lalu berakhir dengan dia membakar dirinya sendiri kerana kehabisan wang berkenaan.

Dalam kejadian yang dipercayai berlaku dalam minggu ini, mangsa yang hanya dikenali sebagai Khoo, 63, berasal di Batu 29, Jalan Kuching-Serian, dikatakan bertindak mengorek lubang kubur di belakang rumahnya sendiri sebelum menyimbah petrol dan menyalakan api pada tubuhnya.
Difahamkan, Khoo yang memenangi loteri berjumlah RM750,000 terpaksa hidup merempat gara-gara terlalu boros membelanjakan wang itu selain pernah membeli nombor ekor berjumlah RM1,800 setiap kali cabutan dengan harapan mendapat pulangan lebih besar.
Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Jamali Umi, berkata setakat ini kejadian berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dengan pihaknya percaya kejadian itu tidak mempunyai sebarang unsur khianat.

"Mayat mangsa hanya ditemui anak saudaranya yang melawat rumahnya kira-kira jam 7 petang semalam (kelmarin) kerana ingin bertanya khabar selepas mereka tidak berhubung bagi tempoh yang agak lama.

"Anak saudaranya yang menemui lubang berkenaan bertindak menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian yang menimpa bapa saudaranya itu. Mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Simunjan bagi pemeriksaan lanjut," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Sementara itu, salah seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali memaklumkan, pakciknya itu tidak pernah berkahwin dan tinggal seorang diri kerana mengusahakan tanaman sayur di kebun bersebelahan rumahnya.
"Sebaik menang wang loteri, pakcik terus berhenti daripada mengusahakan kebun sayur selain sempat membina rumah baru, melancong ke luar negara beberapa kali serta membeli lebih banyak nombor ekor dengan harapan mendapat keuntungan besar.

"Namun nasib tidak menyebelahinya menyebabkan dia terpaksa menjual bahagian rumah yang diperbuat dari besi bagi meneruskan kehidupan. Mungkin akibat terlalu tertekan, dia bertindak membakar dirinya sendiri," katanya.

2bz4money:  Rezeki  dari hasil perjudian tidak bertahan lama..akhirnya membawa kepada kesengsaraan berpanjangan...Berusaha dan carilah rezeki dari sumber yang halal..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan