Ahad, September 05, 2010

9,000 tan dibazir

2010/09/05 BHOnline

Tabiat buang makanan meningkat menjelang musim perayaan

KUALA LUMPUR: Sisa makanan cecah 9,000 tan sehari! Itulah gambaran sikap membazir rakyat Malaysia yang semakin kerap berbelanja mewah membeli makanan terutama untuk berbuka puasa dan juadah Aidilfitri tetapi akhirnya dihumban dalam tong sampah.

Jumlah itu dianggarkan 45 peratus daripada 20,000 tan keseluruhan sisa pepejal yang dikutip di seluruh negara sehari. Pada 2001, jumlah sisa pepejal atau sampah yang dikutip sebanyak 17,000 tan sehari dan meningkat 19,000 tan pada 2005.
Terkini, jumlah kutipan harian dianggarkan lebih 20,000 tan dengan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara menjangka ia bertambah kepada 30,000 tan sehari menjelang 2020.
Mengulas situasi itu, Ketua Pengarah jabatan berkenaan, Datuk Nadzri Yahaya percaya jika orang ramai dapat mengurangkan pembaziran makanan, terutama menjelang musim perayaan, kerajaan mampu menjimatkan kos pengurusan sisa pepejal yang kini ditanggung pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sekarang kita jarang jumpa orang buang surat khabar atau kertas sebab ada orang yang datang kutip atau beli di rumah. Semua sampah itu ada harga, sama seperti tin minuman daripada aluminium. Ringkasnya, bila kita letak harga pada sampah, orang tak akan buang.

Kita perlu mendidik orang ramai supaya menghargai makanan, membeli ikut keperluan dan sekiranya terlebih, sisa pepejal itu perlu dinilai dari aspek positif seperti kitar semula. Semua itu perlu diasing secara sistematik supaya pelaksanaan berjalan lancar, katanya kepada Berita Minggu.

Sikap membazir membuang sisa makanan ketara di kawasan bandar berbanding penduduk di pedalaman atau kampung yang banyak mengitar semula makanan tidak habis dengan memberikannya kepada ternakan seperti ayam dan itik.
Daripada anggaran 20,000 tan sisa pepejal dibuang setiap hari, 45 peratus adalah sisa makanan, 24 peratus (4,800 tan) plastik, tujuh peratus (1,400 tan) kertas, enam peratus (1,200 tan) bahan logam, tiga peratus (600 tan) kaca dan lain-lain.

1 ulasan:

  1. Dah nampak open house yg menonjolkan sikap membazir ini dan menunjuk2 ni. Pengunjung pula jgn terlalu tamak hingga tidak dpt menghabiskan makanan..

    BalasPadam