Khamis, September 16, 2010

Doktor jadi mangsa sindiket tipu

Oleh Rashidi Karim
bhnews@bharian.com.my
2010/09/16

Pengamal perubatan labur RM400,000 dalam skim Celcom I Talk-Prabayar

KANGAR: Seorang pengamal perubatan antara 50 mangsa penipuan membabitkan nilai pelaburan dipercayai bernilai lebih RM4 juta menerusi skim dikenali ‘Celcom I Talk-Prabayar’ di sini, dan sekitar Kedah.
Sindiket dipercayai didalangi dua lelaki masing-masing berusia 41 tahun menjanjikan keuntungan 10 peratus terhadap nilai pelaburan dalam tempoh 10 hari hingga menarik minat ramai individu menyertainya.
Mangsa, Dr Hazlimi Salim, 45, berkata beliau melabur hampir RM400,000 menyertai skim terbabit selepas terpedaya dengan keuntungan mudah ditawarkan individu dikenalinya itu pada 2007.

“Saya membuat lapan transaksi pemindahan wang ke dalam akaun bank salah seorang daripada dua individu berkenaan membabitkan jumlah RM385,000. Sebahagian besar wang terbabit saya peroleh menerusi pinjaman bank.

“Pada minggu pertama pelaburan bermula Mac 2007, mereka memasukkan keuntungan 10 peratus daripada jumlah pelaburan hingga menarik minat saya menambah jumlah pelaburan,” katanya ketika ditemui di cawangan New Straits Times Press (NSTP) Kangar, di sini, semalam.

Bagaimanapun, katanya, beliau hanya menyedari menjadi mangsa penipuan berkenaan selepas dua bulan skim beroperasi apabila pihak penganjur gagal memasukkan keuntungan dijanjikan, malah dua penggerak utamanya menghilangkan diri dan gagal dihubungi.
Sehubungan itu, katanya, beliau membuat dua laporan di Balai Polis Kuah, Langkawi iaitu pada 25 Oktober 2007 disusuli setahun kemudian pada 22 Oktober 2009 selepas tidak berpuas hati dengan proses siasatan terhadap laporan berkenaan.

“Saya pernah menyiapkan laporan lengkap berhubung rasa ketidakpuasan hati terhadap proses siasatan di Langkawi bagi dihantar kepada Ketua Polis Negara, tetapi terbantut selepas dinasihatkan pegawai polis di Langkawi,” katanya.

Dr Hazlimi yang mempunyai klinik sendiri di Langkawi berkata, sehingga kini beliau tidak mengetahui perkembangan kes itu walaupun maklumat lengkap, termasuk individu yang menganjurkan skim terbabit sudah diserahkan kepada pegawai penyiasat kes berkenaan.

1 ulasan:

  1. Modus operandinya tetap sama iaitu return yg cepat, lumayan dan terbukti dari segi bayaran awal..Tak kira professional atau mempunyai jawatan tertinggi pun mudah tertipu..

    BalasPadam