Isnin, September 20, 2010

Labur luar negara mampu kurangkan risiko

PELBAGAIAN adalah prinsip pelaburan yang bertujuan mengurangkan risiko dengan melabur dalam pelbagai jenis pelaburan dan kelas-kelas aset. Dalam rencana ini, kami akan menunjukkan bagaimana pelabur unit amanah boleh mempelbagaikan pelaburan mereka dengan dana ekuiti luar negara sebagai sebahagian daripada portfolio mereka. 

Prinsip pelbagaian adalah langkah tidak meletakkan kesemua 'telur' yakni pelaburan anda pada satu tempat. Dalam istilah pelaburan, ia adalah kaedah mengurangkan risiko dengan cara mengagih-agihkan pelaburan anda dalam beberapa pasaran atau sektor.

Pelaburan luar negara adalah strategi berkesan untuk melindungi portfolio pelabur daripada kemerosotan yang mungkin berlaku dalam pasaran tunggal serta merupakan antara cara meningkatkan potensi pulangan mereka. Pelbagaian pelaburan merangkumi ekuiti asing boleh menolong mengurangkan risiko portfolio kerana pasaran dan ekonomi yang berlainan bergerak dalam kitaran yang berlainan. Oleh itu, dengan melabur dalam pelbagai pasaran dan bukannya satu pasaran sahaja, pelabur boleh mengurangkan kesan risiko yang khusus berkaitan dengan satu negara atau kawasan. Ini terutamanya benar dalam hal pasaran serantau yang merangkumi spektrum negara-negara sedang membangun yang berkembang dengan pantas dan negara-negara maju.

Faedah melabur dalam pasaran luar pesisir
Faedah utama melabur dalam pasaran luar pesisir adalah keupayaan pelabur memanfaatkan potensi pertumbuhan pasaran luar pesisir. Selain itu, pelabur juga mendapat akses pelaburan dalam lebih banyak syarikat berkualiti. Syarikat-syarikat ini, adalah cukup mantap dan mempunyai penguasaan pasaran yang kukuh manakala mereka yang sedang muncul pula memiliki potensi pertumbuhan kukuh. Oleh sebab permodalan pasaran kebanyakan syarikat yang tersenarai di peringkat antarabangsa adalah besar, maka melabur dalam pasaran luar pesisir juga membolehkan pelabur mendapat faedah daripada paras kecairan yang lebih tinggi.

Disebabkan kitaran pasaran saham dalam pasaran yang berlainan biasanya meruap dan sukar diramalkan, pelabur unit amanah dinasihatkan supaya mempelbagaikan pelaburan mereka dalam sebilangan pasaran yang menawarkan pelbagai jenis saham. Faedah pelbagaian dicapai apabila pergerakan pasaran yang berlainan tidak betul-betul berhubung kait antara satu sama lain. Bagaimanapun, sebelum mempertimbangkan jenis dana luar pesisir untuk melabur, pelabur unit amanah hendaklah menentukan peruntukan aset mereka yang sesuai berdasarkan profil risiko, objektif pelaburan dan keperluan kewangan mereka masing-masing.

Menyedari Risiko
Pelabur yang melabur dalam dana luar pesisir hendaklah menyedari tentang pelbagai risiko yang mungkin dihadapi oleh pelaburan mereka. Risiko ini termasuk yang berikut:

Risiko Pasaran
Pembelian ekuiti merupakan satu risiko kerana harga saham-saham yang mendasari Nilai Aset Bersih (NAB) dana turun naik sebagai reaksi kepada banyak faktor seperti aktiviti syarikat individu dan pasaran am atau keadaan ekonomi.

Risiko Kecairan
Risiko kecairan didefinisikan sebagai keupayaan sesuatu sekuriti itu untuk dijual dengan mudah dan cepat atau hampir dengan nilai berpatutan bergantung pada jumlah dagangan yang diniagakan di pasaran. Jika dana unit amanah mempunyai portfolio sekuriti yang besar serta kurang cair atau sukar dijual, sekuriti mungkin dijual pada harga yang lebih rendah daripada nilai berpatutan, dengan itu menjejaskan nilai dana unit amanah.

Risiko Mata Wang
Sekiranya satu mata peratusan daripada nilai dana dilaburkan dalam mata wang asing atau aset dalam mata wang asing, nilainya mungkin terdedah kepada risiko turun naik mata wang. Turun naik mata wang dalam kadar pertukaran asing mempengaruhi nilai pelaburan asing dana apabila ditukar kepada mata wang tempatan dan kemudiannya memberi kesan kepada nilai pelaburan pemegang unit.

Risiko Negara
Pelaburan dana di luar negara mungkin dipengaruhi oleh perubahan dalam keadaan politik dan ekonomi negara di mana pelaburan dibuat. Faktor-faktor politik dan ekonomi tersebut boleh mempengaruhi pertumbuhan dan pembangunan perusahaan perniagaan dan memberi kesan kepada harga saham syarikat-syarikat tersenarai.

Dana luar pesisir boleh pelbagaikan portfolio anda
Secara umumnya, portfolio pelaburan yang pelbagai terdiri daripada pelaburan dalam negara dan serantau boleh mencapai potensi pulangan lebih tinggi daripada portfolio yang tertumpu kepada satu pasaran sahaja. Ini kerana pasaran-pasaran tidak bergerak seiringan disebabkan oleh perbezaan kecairan, struktur ekonomi dan prospek perolehan korporat masing-masing.

Portfolio pelbagai yang diuruskan dengan baik dan mengandungi ekuiti tempatan dan serantau boleh menawarkan pulangan lebih tinggi kerana pasaran dengan prospek pertumbuhan yang lebih kukuh mempunyai kewajaran lebih tinggi dan pasaran dengan potensi pertumbuhan lebih perlahan pula adalah memiliki kewajaran rendah.

Sehubungan itu, pelbagaian pelaburan ke dalam pasaran luar pesisir memberikan peluang untuk menyertai dalam prospek pertumbuhan jangka panjang pasaran serantau. Walau bagaimanapun, adalah penting bagi anda memahami risiko yang terlibat sebelum anda menyebarkan pelaburan anda ke dalam pasaran antarabangsa. Melabur untuk jangka panjang dan menggunakan pemurataan kos Ringgit boleh menolong pelabur mengurangkan sesetengah risiko melabur dalam pasaran luar pesisir.

Rencana ini disumbangkan oleh Public Mutual Berhad, syarikat unit amanah swasta yang terbesar di Malaysia. Untuk maklumat lanjut, sila dail Talian Perkhidmatan Pelanggan Public Mutual di 03-6207 5000 atau layari www.publicmutual.com.my.

1 ulasan:

  1. Jika terlalu bergantung kpd ekonomi negara, kita akan turut merasa turun naiknya. Bagi mengurang kebergantungan kpd ekonomi negara, kita mempunyai pilihan utk melabur di pasaran luar spt BRIC, Indonesia, asia tenggara etc.

    BalasPadam