Selasa, September 21, 2010

Taksub nak menang RM1.5 juta, lelaki kerugian RM62,000

KUALA LUMPUR 20 Sept. - Sukar dipercayai apabila seseorang sanggup membayar sejumlah wang yang besar semata-mata mahu jadi jutawan.

Bagaimanapun, itulah terjadi kepada seorang penyelia stor yang kerugian RM62,000 selepas ditipu 'Tok Guru' palsu, kononnya boleh memberi ramalan nombor ekor.
Segala-galanya bermula apabila mangsa, Lim Choon Leong, 50, menerima sehelai kertas iklan yang diletakkan di peti surat rumahnya awal bulan lalu menunjukkan kisah-kisah tentang kemampuan 'Tok Guru' itu membantu orang susah di Kedah dengan memberikan ramalan nombor ekor.
Dia kemudian menghubungi nombor telefon tertera pada iklan tersebut dan mengatur pertemuan dengan seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Tan di sebuah tokong terletak di Padang Terap, Kedah.
"Meskipun saya pernah terbaca berita-berita mangsa ditipu sami palsu, saya tetap ingin mencuba nasib dan sangat berhati-hati," katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.
Pertemuan yang diaturkan pada 8 Ogos lalu bagaimanapun tidak menjadi apabila Tan tidak dapat hadir dengan alasan ada hal kecemasan.
"Tan bagaimanapun menelefon dan memaklumkan saya sekiranya ikhlas, 'Tok Guru' boleh membantu saya tanpa perlu bertemu dengan syarat saya membuat bayaran RM180 yang bertujuan untuk upacara sembahyang.
"Selepas saya membuat bayaran itu, saya dijanjikan ramalan satu nombor dan akan dikirimkan menerusi kurier ke alamat rumah saya," kata mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.
Menurut mangsa, pada 23 Ogos, dia menerima kurier mengandungi nombor 4469 yang memenangi hadiah utama dua hari sebelum itu.
Berikutan itu, Choon Leong menjadi yakin bahawa ramalan sami itu tepat, cuma menyangka kurier yang sepatutnya diperolehi pada 20 Ogos, tiba lewat empat hari kemudian.
"Tanpa menyedari muslihat Tan, dia sekali lagi menghubungi saya, kali ini menjanjikan saya akan diberi lagi ramalan nombor, namun diperlukan membuat bayaran setiap hari mengikut permintaannya.
"Secara berperingkat-peringkat sehingga 4 September, saya telah mendepositkan sebanyak RM62,000 dan wang itu datangnya daripada simpanan, meminjam dengan saudara malah separuh daripadanya saya pinjam daripada ah long," ujar Choon Leong.`

1 ulasan:

  1. Saya pun kerap menerima surat yg diposkan dari Kedah mengenai penipuan sebegini. Tapi tak pernah dilayan. Nampak penipu ini berjaya juga menjerat mangsanya..

    BalasPadam