Rabu, November 24, 2010

Tangani kos sara hidup tinggi

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Ekoran kenaikan kos sara hidup yang kian membebankan, kerajaan digesa mencari mekanisme yang tepat bagi mengurangkan impak terhadap kuasa beli rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Pensyarah Kuliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah tersebut boleh dimulakan dengan penubuhan makmal khas yang melakukan kajian spesifik secara menyeluruh mengenainya.

"Kenaikan kos sara hidup sangat membebankan rakyat di negara ini disebabkan kenaikannya terlalu pantas dan tidak seiring dengan kenaikan pendapatan rakyat.
"Fenomena ini perlu dikaji dengan teliti kerana melibatkan banyak faktor, bukan setakat harga barang-barang keperluan sahaja. Bagi saya, penubuhan makmal khas merupakan langkah terbaik yang perlu dipertimbangkan kerajaan," katanya ketika dihubungi di sini.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan pendapat seorang pembaca mengenai fenomena kuasa beli rakyat yang dikatakan menurun secara mendadak disebabkan kenaikan kos sara hidup yang tinggi di negara ini.
Menurut pendapat tersebut, selain meningkatkan pendapatan, kerajaan perlu memberi fokus mencari jalan bagaimana hendak meningkatkan kuasa beli rakyat, khususnya isi rumah serta mengekalkan kos sara hidup yang tidak membebankan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, impak kenaikan kos sara hidup boleh dikurangkan dengan cara menstabilkan harga barang-barang asas dan meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah.

"Paling mustahak, langkah menstabilkan harga barang-barang asas perlu melibatkan kerjasama pelbagai hala kesemua kementerian yang ada, bukan terhad kepada satu atau dua kementerian sahaja.
"Selain itu, saya fikir kerajaan juga perlu mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan elaun khas kepada suri rumah bagi meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah," katanya.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman pula mencadangkan supaya kerajaan menambah peruntukan dan pembiayaan kepada sektor-sektor tertentu yang membabitkan keperluan asas rakyat seperti pengangkutan, pendidikan dan kesihatan.
"Dengan cara itu, perbelanjaan rakyat untuk hal-hal sedemikian dapat dikurangkan sekali gus mampu meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah," katanya.

Selasa, November 23, 2010

Kahwin demi wang


Oleh Rahmat Othman , BH Online

2010/11/22

SEBAHAGIAN  wanita pekerja seks di pekan Danok memeluk Islam dan berkahwin dengan lelaki Malaysia untuk mencari kesenangan.
SEBAHAGIAN wanita pekerja seks di pekan Danok memeluk Islam dan berkahwin dengan lelaki Malaysia untuk mencari kesenangan.
Pekerja seks berkahwin lelaki tempatan untuk kesenangan

DANOK, THAILAND: Segelintir lelaki Malaysia yang kemaruk beristeri lebih, dikesan menjadikan pekerja seks dan tukang urut Thailand sebagai sasaran untuk dijadikan isteri mereka sejak dua tahun lalu.

Difahamkan, kebanyakan lelaki terbabit berkunjung ke sini untuk berfoya-foya di pusat hiburan yang banyak di sini dan berlagak sebagai orang kaya sebelum mengajak pekerja tempat berkenaan berkahwin.
Imam Masjid Fathuislami yang juga Jurunikah Bertauliah selatan Thailand, di sini, Sufian Ismail, berkata kebanyakan wanita terbabit berkahwin semata-mata kerana mahukan kemewahan dan tidak pernah memeluk Islam sepenuh hati.
Bagaimanapun, katanya, apabila menyedari suami mereka itu bukanlah orang kaya dan tidak mampu menampung kos sara hidup mereka, ramai dikalangan wanita terbabit kembali kepada pekerjaan dan agama asal selepas bercerai.

Apabila bercerai, wanita itu kembali kepada agama asal mereka atau murtad serta bekerja semula sebagai pekerja seks. Bekas suami itu juga hanya membiarkan bekas isteri mereka itu murtad, katanya ketika ditemui, di sini.

Beliau berkata, sepanjang dua tahun lalu 10 wanita Thailand bercerai dan kembali agama asal mereka selepas kecewa dengan perkahwinan mereka membabitkan lelaki Malaysia.

Sufian berkata, lebih menyedihkan apabila hasil daripada perkahwinan jangka pendek itu ada yang mempunyai anak dan anak itu juga mengikut agama ibu mereka.
Mereka mengumpan dengan kemewahan yang ditunjukkan dan ia berjaya memikat wanita berkenaan. Selepas perkenalan singkat mereka berkahwin dan wanita itu memeluk Islam, katanya.

Beliau berkata, pasangan itu akan menyewa rumah di sini dan si suami hanya akan datang menemui isterinya pada hujung minggu atau masa tertentu.

Tidak lama selepas itu wanita berkenaan menyedari suaminya bukanlah orang kaya seperti yang disangkakan, malah tidak dapat menampung kos sara hidupnya yang sebelum itu mewah, menyebabkan mereka sering bergaduh dan berakhir dengan perceraian, katanya.

Isnin, November 22, 2010

Parah bil hospital


Oleh Zuraidah Mohamedk
zmohamed@bharian.com.my
2010/11/22

pix_gal0
Ramai hutang kad kredit, bank untuk jelas kos perubatan swasta tinggi

KUALA LUMPUR: Penggunaan kad kredit atau pinjaman bank untuk membayar kos perubatan yang tinggi di hospital swasta kini menjadi punca utama kegagalan pembayaran balik pinjaman bank dan kad kredit oleh individu.
Mengikut Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) penggunaan kad kredit tidak terkawal kini bukan lagi menjadi faktor utama bagi masalah kegagalan pembayaran balik pinjaman.
Sebaliknya, badan yang menguruskan RM4.8 bilion hutang tidak berbayar (NPL) membabitkan 50,361 individu itu mendapati pembiayaan kos rawatan dan perubatan yang tinggi ketika ini mendorong individu untuk berhutang sehingga di luar kemampuan.

Ketua Eksekutifnya, Mohamed Akwal Sultan, berkata kebanyakan individu yang dirujuk kepada Program Pengurusan Kredit (PPK) AKPK menjelaskan, mereka lebih cenderung mendapatkan perkhidmatan rawatan dan perubatan yang dikatakan lebih baik di hospital swasta berbanding di hospital kerajaan walaupun ia membabitkan kos besar.

“Setakat Oktober lalu, 26 peratus kegagalan pembayaran balik pinjaman langsung bank atau kad kredit yang dirujuk kepada AKPK adalah perbelanjaan perubatan tinggi disebabkan kos sara hidup semakin meningkat.

“Penggunaan kad kredit tidak terkawal tidak lagi menjadi faktor utama kegagalan seperti pada dua atau tiga tahun lalu,” katanya kepada Berita Harian.
Beliau berkata, selain kos perubatan tinggi, punca lain yang dirujuk kepada agensi itu ialah kelemahan pengurusan kewangan (25 peratus), kegagalan perniagaan (13 peratus), kehilangan pekerjaan (12 peratus), manakala dua peratus akibat kegagalan pelaburan.

Penggunaan kad kredit tidak terkawal pula, katanya, hanya mewakili 15 peratus.
Katanya, hampir 70 peratus kes gagal membayar balik pinjaman itu adalah membabitkan penggunaan kad kredit, manakala 30 peratus lagi pinjaman peribadi serta sewa beli.

Daripada RM4.8 bilion NPL yang diuruskan AKPK ketika ini, Mohamed Akwal berkata, RM2 bilion membabitkan pinjaman perumahan diikuti kad kredit (RM1.1 bilion) serta sewa beli sebanyak RM713 juta.

Katanya, jumlah itu membabitkan kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan 135,805 individu yang datang ke AKPK untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling serta khidmat nasihat berhubung pengurusan kredit.

Beliau berkata, tahun ini saja 25,353 individu memohon khidmat nasihat serta bantuan AKPK dan hanya 13,017 dirujuk kepada program PPK, antaranya bagi penstrukturan semula pinjaman.

Bagaimanapun tahun lalu, katanya, 36,848 individu tampil dan 16,184 daripadanya mengikuti program berkenaan.

“Tahun lalu, lebih ramai mendapatkan bantuan daripada AKPK kerana krisis ekonomi yang melanda. Namun, mulai Oktober tahun lalu, keadaan ekonomi mula pulih. Pengurangan individu ini menunjukkan keadaan ekonomi kita semakin baik dan mereka juga ke arah pengurusan kewangan yang baik,” katanya.

Setakat Oktober lalu, sebanyak 423 kes membabitkan pinjaman berjumlah kira-kira RM12 juta berjaya diselesaikan AKPK, berbanding 143 kes dengan jumlah pinjaman RM3.7 juta pada tempoh sama tahun lalu.

“Kami menyelesaikan kira-kira 40 kes sebulan bayaran balik pinjaman kepada bank kerana kebanyakan yang mengikuti PPK sudah mampu menyelesaikan pinjaman lebih awal daripada tempoh maksimum 10 tahun yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang berpendapatan kurang RM2,000 sebulan adalah kumpulan paling teruk terjejas dengan masalah kewangan, mewakili kira-kira 40 peratus daripada 50,361 individu yang menyertai PPK.

Katanya, AKPK yang ditubuhkan sejak April 2006 setakat ini menganjurkan lebih 520 taklimat berhubung pengurusan kredit di seluruh negara