Rabu, Disember 15, 2010

Bijak merancang jimatkan kos

Oleh Siti Zarinah Sahib
TAMAN TEMA...bagi ibu bapa

yang kurang berkemampuan

boleh memilih taman tema

berhampiran untuk membawa

anak bercuti.
TAMAN TEMA...bagi ibu bapa yang kurang berkemampuan boleh memilih taman tema berhampiran untuk membawa anak bercuti.
RIADAH...ibu bapa perlu babitkan

anak ketika memilih tempat percutian

dan aktiviti yang diadakan.
RIADAH...ibu bapa perlu babitkan anak ketika memilih tempat percutian dan aktiviti yang diadakan.
PERCUTIAN indah keluarga bukan bermakna membawa anak menginap di hotel mewah atau melancong melangkaui sempadan kawasan kediaman, tetapi sebanyak mana masa mampu diluangkan ibu bapa untuk mereka.
Bagi mereka yang berpendapatan rendah, cukup sekadar membawa anak berjalan di bandar, pantai atau pusat perkelahan berdekatan sambil luangkan masa berbual, bergurau senda dan bermain-main dengan mereka.

Menurut pembimbing ibu bapa bertauliah, Zaid Mohamad, ramai ibu bapa berpendapat bercuti perlu ke luar daerah atau menginap di hotel, tetapi sebenarnya tidak.
"Membawa anak bersiar-siar di bandar atau taman sudah cukup menggembirakan mereka. Apa yang penting kualiti masa yang dapat diluangkan ibu bapa bagi melayan anak.
"Bagi ibu bapa yang kurang mampu, bersiar-siar di taman sudah cukup mengeratkan kemesraan bersama keluarga malah boleh dilakukan selalu kerana tidak memerlukan kos yang tinggi," katanya yang juga penulis buku Ibu Bapa Bijak, Anak Hebat.
Zaid memberitahu, terdapat tiga perkara penting yang perlu diberi perhatian dalam merancang percutian terutama bagi keluarga berpendapatan rendah iaitu kos pengangkutan, penginapan, makan dan minum.
Peruntukan bajet antara RM500 hingga RM1,000 tidak sekali-kali menjadi halangan jika ibu bapa bijak menanganinya dan memfokuskan minda untuk mencari jalan penyelesaian.
Daripada aspek pengangkutan, menurutnya, bandingkan kos pengangkutan awam dengan pengangkutan persendirian.
Mana yang lebih murah daripada keseluruhan jumlahnya? Jangan lupa mengira sekali kos petrol dan parkir. Bahagikan jumlahnya dengan jumlah penumpang. Biasanya, untuk sebuah keluarga, pengangkutan sendiri mungkin lebih murah.

Daripada aspek penginapan, cuba dapatkan tawaran murah di laman sesawang yang dipercayai untuk mendapatkan tawaran secara dalam talian.
Di laman sesawang smartparents.com.my, ada satu pautan laman yang menawarkan diskaun sehingga 70 peratus daripada harga biasa.
Pilih apartmen kerana ini adalah cara paling murah untuk keluarga besar kerana biasanya boleh memuatkan lebih ramai penghuni dan lebih murah harganya. Kemudahan disediakan juga sama dengan hotel.
Port Dickson misalnya banyak menyediakan kemudahan berbentuk apartmen. Alternatif lain ialah dengan mencari rumah atau banglo penginapan untuk disewa. Biasanya kos keseluruhan akan jauh lebih murah berbanding hotel.
"Saya sendiri pernah menyewa sebuah banglo sembilan bilik di Cameron Highlands pada kadar RM150 saja setiap bilik.
"Beberapa keluarga dapat menginap beramai-ramai untuk menghasilkan sebuah percutian meriangkan," ujarnya. Alternatif yang paling murah ialah berkhemah di tempat yang menarik. Cuma perlu ada satu khemah dan beg tidur untuk setiap orang.

Daripada sudut makanan dan minuman, jika menginap di hotel, tidak perlu makan di sana kerana kosnya agak tinggi.
Sebaliknya, boleh memandu sedikit dan mencari kedai makan yang agak bersih dan selesa. Jika menginap beramai-ramai, contohnya di banglo Cameron Highlands, anda boleh menempah makanan secara katering daripada warung berdekatan.
Rundingkan harga terbaik kerana anda akan menempah makanan dan minuman dari kedai itu sepanjang percutian. "Daripada pengalaman saya, kosnya hanyalah RM10 sehari setiap orang untuk makan pagi, tengah hari dan malam yang ringkas tapi memuaskan.

"Jika anda tinggal di servis apartmen, ia lebih menjimatkan kerana anda boleh menggunakan dapurnya untuk memasak sendiri. Misalnya ketika sarapan, anda boleh menyediakan roti, telur atau bijirin.

"Dalam hal ini, ibu bapa perlu membuat belanjawan mini khas untuk percutian itu terutama untuk makan minum, tiket dan cenderamata.
Kemudian anda boleh membelanjakannya tanpa rasa bersalah selagi di dalam lingkungan belanjawan itu," katanya.
Menurutnya, bagi ibu bapa yang anak-anaknya sudah bersekolah sebaiknya minta pendapat mereka dalam membuat keputusan.
Bincang bersama tempat yang ingin dilawati dan setelah bersetuju, biarkan mereka membuat kajian melalui Internet atau majalah berkenaan tempat menarik atau aktiviti yang boleh dilakukan.
Di bawah pengawasan ibu bapa, biarkan mereka membuat satu program lawatan yang menarik.
Dengan cara ini, ibu bapa akan mendapat kerjasama penuh anak sebelum dan ketika bercuti. Ini juga memberi peluang untuk mereka mengasah bakat kepimpinan dan bertanggungjawab menguruskan sebuah aktiviti keluarga. Di samping itu, ibu bapa boleh menjimatkan wang tanpa perlu mengambil pakej lawatan.
Menurut Zaid, bagi ibu yang memiliki anak lebih daripada empat orang, semua perancangan bergantung kepada kesediaan mereka untuk berjalan jauh. Jika mereka tidak biasa atau bersedia, ini mungkin akan menimbulkan tekanan bukannya keseronokan. Tetapi jika mereka boleh berkelakuan baik, jarak perjalanan yang jauh tidak menjadi masalah.
"Ibu bapa boleh melatih anak dari kecil dengan mewajibkan mereka memakai tali pinggang keledar supaya mereka akan lebih berdisiplin sepanjang perjalanan," jelasnya.

Kata Zaid lagi, memilih lokasi percutian juga bergantung kepada usia anak misalnya untuk anak di bawah usia setahun, percutian ke taman bunga atau melawat tempat perkelahan yang selamat dan semula jadi adalah sangat sesuai.
Ini kerana mereka dapat melihat langit membiru dan pokok menghijau seperti di Taman Tasik Perdana atau Titiwangsa, namun perlu mempunyai kemudahan asas berdekatan.

Bagi anak berusia dua hingga empat tahun, tempat yang mempunyai kolam air untuk kanak-kanak atau taman permainan yang menarik sesuai untuk mereka manakala pada usia empat hingga enam tahun sudah bijak menilai dan berfikir justeru kawasan yang sesuai seperti pantai, taman tema air, taman tema kanak-kanak atau taman haiwan.

Bagi yang sudah bersekolah, kawasan percutian sesuai ialah taman tema, tempat bersejarah atau percutian berbentuk mencabar. Bagi kanak-kanak berusia di bawah tujuh tahun, sebuah percutian yang mudah dan ringkas, contohnya menginap tiga hari dua malam di pantai peranginan, tanpa program yang terlalu padat sesuai dengan usia mereka.
Bagi anak bersekolah rendah pula percutian adalah masa paling sesuai untuk merapatkan hubungan kekeluargaan dan pembelajaran, sekali gus mendorong mereka menghargai dunia di samping mencipta memori indah yang kekal sepanjang hayat.

Untuk anak bersekolah menengah, amat penting bagi ibu bapa memastikan pendapat mereka diterima dan sesuai dengan minat mereka. Percutian terbaik adalah percutian yang seimbang iaitu terdapat masa bebas untuk mereka melakukan aktiviti kegemaran mereka dan masa indah bersama keluarga.
Tip merancang percutian:
1. Merancang dan menunggu sebuah percutian adalah separuh daripada kenikmatan. Sebaiknya percutian itu dirancang enam bulan lebih awal.
Jadualkan di dalam kalendar keluarga dan umumkan kepada anak-anak. Ini akan memberikan masa untuk kita mencari penginapan terbaik dengan harga berpatutan sebelum penuh.
Jangan lupa membabitkan anak dalam memilih lokasi dan aktiviti.
2. Buat belanjawan untuk menyimpan sejumlah wang contohnya RM100 hingga RM200 sebulan untuk dimasukkan ke dalam tabung percutian.
Pastikan anak juga tahu akan perkara ini dan jika mereka meminta untuk membeli sesuatu akan mengakibatkan percutian keluarga tertunda sedikit. Membuat tabung percutian juga dapat menjamin keseronokan yang maksimum kerana ibu bapa tidak perlu menanggung hutang kad kredit selepas kembali daripada bercuti nanti.
3. Pada saat pergi bercuti biarkan anak menyediakan dan membawa bagasi masing-masing. Ibu bapa hanya perlu memberitahu jumlah dan jenis pakaian (pakaian bersantai, berjalan-jalan atau tidur) yang perlu dibawa.
4. Buat senarai barangan yang perlu dibawa seminggu sebelum tarikh bertolak. Ini akan memastikan barangan penting tidak tertinggal.
5. Kemaskan rumah sebelum pergi. Ini penting kerana apabila balik nanti, keluarga akan merasa tenang melihat keadaan rumah yang kemas dan tersusun.
Untuk maklumat lanjut, Zaid Mohamad boleh dihubungi menerusi laman sesawang www.SmartParents.com.my.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan