Rabu, Februari 09, 2011

Along punca saya meringkuk dijel

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

2011/02/09 BHOnline

Rompak kedai emas untuk lunas hutang

POKOK SENA: “Jangan berhutang dengan along kerana along saya merana dan terpaksa merengkuk dalam penjara sepanjang hayat,” kata seorang banduan di Penjara Pokok Sena, di sini yang hanya dikenali sebagai Wee, berusia 40-an.

Dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah kerana melakukan kesalahan samun bersenjata api di sebuah kedai emas di Kuala Sanglang, Jitra pada Oktober 1999 bagi mencari wang untuk membayar hutang along.
Wee yang sudah 12 tahun merengkuk dalam penjara berkata, ketika itu dia amat tertekan berikutan sering diganggu along selepas gagal melunaskan hutang RM40,000 pada 1999, malah faedahnya semakin bertambah menjadikan jumlah yang perlu dibayar meningkat kepada RM70,000.
“Saya tertekan kerana along sering mengganggu saya dan keluarga membuatkan saya mengambil jalan mudah menyamun sebuah kedai emas di Kuala Sanglang, semata-mata untuk melunaskan hutang.

“Ketika itu saya tidak berfikir panjang hanya kerana mahu menyelesaikan masalah dengan along, tetapi nasib saya menjadi lebih buruk apabila terpaksa merengkuk dalam penjara seumur hidup,” katanya yang berasal dari Perlis ketika ditemui pada majlis perjumpaan dengan keluarga sempena Tahun Baru Cina di Penjara Pokok Sena, di sini, semalam.

Dia melakukan samun itu bersendirian dan melarikan sejumlah emas yang dianggarkan bernilai lebih RM200,000.

Wee berkata, nasib tidak menyebelahinya kerana selepas tiga hari melakukan jenayah samun itu, dia ditahan sepasukan anggota polis yang datang ke rumahnya. Dia yang menyesali perbuatannya itu berkata, kini tiada apa lagi yang dapat mengubah hidupnya untuk keluar daripada penjara melainkan pengampunan daripada Yang Di-Pertuan Agong ataupun memenangi kes rayuan.

“Saya berharap kejadian yang menimpa saya ini dapat dijadikan iktibar oleh orang di luar sana supaya tidak meminjam daripada along.

“Akibat terdesak untuk membayar hutang along saya melakukan jenayah. Bayangkan bagaimana kehidupan saya yang terpaksa menghabiskan sepanjang hayat dalam penjara ini, hanya disebabkan Ah Long,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan