Khamis, April 28, 2011

Faktor Kejayaan PNB

PNB tekad bantu rakyat berpendapatan rendah
Oleh Mohd Zin Ali
mdzin@bharian.com.my
2011/04/27

Tujuh faktor penyumbang utama kejayaan sejak ditubuhkan

IPOH: Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid bertekad untuk sentiasa memastikan kejayaan PNB dalam usaha membantu meningkatkan taraf hidup rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah di negara ini. Beliau berkata, pihaknya akan sentiasa mengingati pesanan yang pernah dilafazkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada majlis penutup Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2006 bahawa kegagalan bukannya pilihan untuk PNB.

"Ini bolehlah ditafsirkan mengikut kata orang tua-tua: Ibarat rumah, tiangnya jangan condong, dindingnya jangan longgar, lantainya jangan terbolos, atapnya jangan tiris,” katanya ketika berucap pada majlis penutup MSAM 2011 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak, petang semalam. Majlis penutupan berkenaan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Selain itu, Ahmad Sarji berkata, pihaknya menyimpul sebanyak tujuh faktor yang menyumbang kepada kejayaan PNB yang boleh disaksikan oleh orang ramai yang mengunjungi MSAM kali ini. Beliau berkata, faktor pertama adalah strategi PNB menarik pelanggan dengan menyediakan perkhidmatan mudah dan pantas menerusi 1,600 ejen yang dilantik daripada Maybank, CIMB Bank, RHB Bank dan Pos Malaysia di seluruh negara.

Katanya, keempat-empat ejen ASNB itu menyediakan khidmat secara atas talian manakala Maybank2u dan CIMB Clicks menawarkan khidmat menerusi internet kepada pelabur.

Kedua, PNB juga menyediakan program pendidikan pelaburan yang berterusan menerusi MSAM, Seminar Pelaburan 360 Hari, Kuiz Pelaburan PNB bagi pelajar sekolah menengah, universiti, badan beruniform dan institut pendidikan guru.

“Selain itu, program Kelab Pelaburan Bijak dan Pidato Pelaburan membabitkan 104 sekolah menengah di seluruh negara juga diadakan untuk menyelami minda segenap lapisan masyarakat bagi mendedahkan mengenai keunikan unit saham amanah," katanya.

Ahmad Sarji berkata, ketiga, PNB juga mengamalkan strategi pelaburan yang berhemah, disokong oleh penyelidikan yang amat teliti dan juga analisis pasaran berterusan ke atas semua syarikat pelaburannya.
Beliau berkata, pihaknya juga memberikan pengagihan kadar dividen yang kompetitif dengan pada tahun lalu, PNB membayar agihan pendapatan pada kadar lima seunit hingga 7.50 sen seunit bagi semua 11 tabung amanah sahamnya.

Kelima, kami juga memperbaiki kualiti aset dengan memiliki bangunan yang mendatangkan hasil di Kuala Lumpur antaranya Menara PNB, Bangunan MAS, Kenanga Building, PNB Darby Park, Menara Tun Ismail Mohamed Ali, Wisma Nusantara, Bangunan MIDF, PNB Damansara, Wisma KPMG dan Bangunan SPPK.

“PNB juga memiliki hartanah antarabangsa iaitu Santos Place iaitu bangunan pejabat 37 tingkat di Brisabane, Australia," katanya.

Keenam, dengan menguruskan dana unit amanah berjumlah 127 bilion unit milik 10.4 juta pemegang akaun, beliau berkata, ia menjadikan keseluruhan dana yang diuruskan PNB adalah sebanyak RM189 bilion yang dilabur dalam ekuiti syarikat besar seperti Maybank, Sime Darby, Northport dan UMW.

Faktor terakhir, dari segi kewangan Islam, syarikat induk PNB seperti Etiqa dan Takaful Ikhlas menguasai sebanyak 59.5 peratus daripada nilai sumbangan takaful negara sementara Maybank Islamic menguasai 17 peratus daripada nilai pembiayaan perbankan Islam di Malaysia," katanya.

2bz4money: Saya dipupuk menabung ASN/ASB sejak hari pertama melangkah ke IPTA. Kini saya mengajar anak2 melabur sejak mereka berumur 6 bulan via produk ASD. Seterusnya apabila meningkat umur 12 tahun, tabungan ditingkatkan ke ASB Remaja. Semoga produk  PNB keseluruhannya dizahirkan berlandaskan syariah (faktor terakhir).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan