Rabu, April 06, 2011

Langsai Dedah Kisah Benar Pengguna Ditipu


PETALING JAYA: Menyedari kepentingan kesedaran awal pengguna dari terus ditipu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal menyiarkan drama berjudul Langsai yang bakal disiarkan bermula 19 April 2011, pukul 7.00 malam di TV1.
Menerusi 13 episod, drama rantaian yang menggunakan pendekatan baru dalam usaha menyebarkan pelbagai isu serta permasalahan kepenggunaan ini mendapat kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Di samping matlamat utamanya untuk meningkatkan tahap kesedaran penonton mengenai hak kepenggunaan, Langsai turut memaparkan unsur-unsur jenaka, ringan dan mudah dari segi penerimaannya.
Diterbitkan oleh 3Line Media Sdn Bhd yang mendapat tajaan sepenuhnya dari Bank Rakyat dengan Kerjasama KPDNKK ini memaparkan tentang beberapa kisah benar yang melibatkan kes-kes tribunal tuntutan pengguna.
Pendekatan diambil menarik kerana ia di sampaikan dalam bentuk lakonan semula berdasarkan situasi sebenar yang diceritakan semula dibawah arahan pengarahnya, Shahrul Ezad yang baru-baru ini memenangi Pengarah Terbaik Anugerah Skrin TV3.
Setiap episod dilakonkan oleh barisan pelakon yang berbeza dengan tajuk episod yang berlainan.
Antara pelakon-pelakon yang terlibat ialah Ijoy Azhari, Azza Elite, Kenchana Dewi, Syed Aiman, Wan Sharmila, Zed Zaidi, Zarina Zainuddin dan ramai lagi.
Antara kes yang dikongsi dengan penonton termasuklah isu ditipu pajak gadai, ditipu agen pelancongan, terbeli barang yang tidak berkualiti, ditipu skim ‘Kutu Siber’, penipuan ejen umrah, pakej rawatan dari sebuah pusat pelangsingan, melabur dalam bidang penternakan dan sebagainya yang realitinya benar-benar berlaku dalam bidang seharian.
Sumber: MStarOnline,3/4/2011 
 
2bz4money: Belajar dari kesilapan lepas dapat menghindarkan diri  risiko kerugian kewangan.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan