Sabtu, April 16, 2011

Senario Harga & Bekalan: Satu Perbandingan

Isnin April 11, 2011

SETIAP hari, kita tidak akan terlepas daripada membeli atau menggunakan salah satu daripada tujuh barangan/produk berikut - gula, tepung, minyak masak, beras ST15, petrol, diesel dan gas memasak.
Namun begitu, kita tidak sedar, kesemua tujuh barangan atau produk itu kita beli pada harga yang telah disubsidikan oleh kerajaan.

Misalnya, gas memasak untuk setiap silinder (14kg) kita beli pada harga RM26.60 dari kedai sedangkan harga sebenarnya ialah RM48.02. Ini bermakna kerajaan telah mensubsidikan RM21.42 untuk setiap silinder yang kita beli.Kos sebenar Diesel pula ialah RM2.78 tetapi dijual di pasaran pada harga RM1.80 selepas menerima subsidi daripada kerajaan.Kerajaan juga masih menanggung subsidi petrol RON95. Atas sebab itulah kita masih dapat memberi harga petrol ini pada kadar RM1.90 seliter.Jika tidak kita terpaksa membeli petrol ini pada harga RM2.66.

Begitu juga dengan minyak masak. Harga sebenar minyak masak ialah RM4.60 untuk setiap kampit dan RM5.40 untuk setiap botol (1kg).Tetapi oleh kerana produk tersebut berada dalam senarai tujuh produk yang disubsidikan maka kita para pengguna hanya membayar RM2.50 untuk setiap kampit dan RM3.30 untuk setiap botol (1kg).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yakcob (kanan) memberi taklimat kepada para editor kanan organisasi media tempatan baru-baru ini.
 
Penulis telah bertanya kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kenapakah kerajaan masih perlu menanggung subsidi yang sebegitu besar ke atas minyak masak sedangkan negara kita adalah pengeluar minyak kelapa sawit terbesar dunia.Katanya, ini kerana hanya 4% sahaja minyak sawit digunakan untuk keperluan dalam negara. Baki 96% lagi adalah untuk memenuhi permintaan eksport yang tinggi.

Kata Ismail Sabri, beras juga adalah salah satu produk yang dikawal oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Kerajaan membiayai RM4.00 untuk setiap pak beras ST15. Ini adalah untuk memastikan paras beras jenis ini kekal pada tahap RM19.00 setiap pak. Untuk gula pula, buat masa ini, kerajaan menanggung subsidi sebanyak 40sen untuk setiap kilogram.Tanpa subsidi ini, harga sebenar gula akan menjadi RM2.50 sekilogram. Tetapi kini kita hanya membayar RM2.10 untuk setiap kilogram gula.

Untuk tepung pula, oleh kerana kerajaan menanggung subsidi sebanyak 45sen, untuk setiap kilogram maka kita hanya membayar RM1.35 sekilogram. Jika tidak harga sebenar tepung RM1.80 sekilogram.
> Secara keseluruhannya jumlah subsidi yang ditanggung oleh kerajaan ke atas tujuh jenis barang dan produk bagi tahun 2010 sahaja berjumlah RM11.412 bilion.

1 ulasan:

  1. Assalamulaikum Tuan.
    Terima kasih untuk info ini..

    PG
    pgcare.blogspot.com

    BalasPadam